SAMBUTAN PERASMIAN HARI OZON SEDUNIA

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Ozon Antarabangsa untuk Pemeliharaan Lapisan Ozon sebagai memperingati tarikh Perjanjian Protokol Montreal Mengenai Kawalan Bahan Pemusnah Ozon yang telah ditandatangani pada 16 September 1987. Tema Hari Ozon Sedunia tahun ini adalah “Montreal Protocol – Keeping Us, Our Food and Vaccines Cool” menunjukkan keberkesanan Protokol Montreal dalam memastikan lapisan ozon sentiasa terpelihara serta turut memberi impak kepada kehidupan khususnya proses penyimpanan makanan dan vaksin.

Selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia, pada tahun ini Sambutan Hari Ozon Sedunia 2021 Peringkat Kebangsaan ini diadakan secara norma baharu iaitu secara dalam talian. Satu platform khas telah disediakan untuk majlis sambutan tersebut. Program ini adalah terbuka kepada orang ramai. Hebahan program dilakukan melalui media sosial Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Jabatan Alam Sekitar.

Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Kebangsaan yang julung kali diadalam secara maya ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man. Pelbagai aktiviti promosi dan kesedaran mengenai perlindungan lapisan ozon telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Majlis yang diadakan secara maya ini mendapat sambutan yang baik daripada orang awam di mana ianya telah disertai oleh lebih kurang 600 peserta. Majlis ini bukan sahaja menarik peserta dari Malaysia, malahan penyertaan juga diterima dari negara Brazil, Belgium, Thailand, Japan, Myanmar, Amerika dan Indonesia. Pengisian Majlis sambutan ini termasuk 3 siri webinar, 2 siri pocket talk dan kuiz-kuiz interaktif bagi menguji pengetahuan peserta mengenai perlindungan lapisan ozon dan Protokol Montreal. Pameran secara maya juga diadakan melibatkan sepuluh (10) pempamer yang terdiri dari pihak kerajaan, industri dan institusi latihan bertauliah.
Majlis sambutan ini adalah titik permulaan untuk memupuk budaya kesedaran tentang kepentingan perlindungan lapisan ozon dan isu perubahan iklim.
Maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 boleh dirujuk pada worldozoneday.doe.gov.my.