BAHAGIAN UDARA

KAWALAN PUNCA-PUNCA PENCEMARAN UDARA DAN BUNYI BISING
INVENTORI GAS RUMAH KACA (GHG) SEKTOR SISA

Inventori Gas Rumah Kaca Sektor Sisa

Penyediaan inventori GHG diselaraskan oleh Bahagian Perubahan Iklim di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Lima (5) kumpulan kerja (WG) telah dilantik bagi tujuan penyediaan inventori gas rumah kaca yang terdiri daripada Sektor Tenaga, Sektor Proses Industri dan Penggunaan Produk (IPPU), Sektor Pertanian, Sektor Guna Tanah, Perubahan Guna Tanah dan Perhutanan (LULUCF) dan Sektor Sisa. Dalam hal ini, Jabatan Alam Sekitar telah dilantik oleh KASA sebagai Agensi Pelaksana dalam penyediaan inventori gas rumah kaca bagi sektor sisa.

JAS telah memainkan peranan aktif sebagai agensi peneraju dalam menyediakan laporan bagi pelepasan gas rumah kaca dari sektor sisa. Justeru itu, JAS telah meneraju Jawatankuasa Kerja bagi Sektor Sisa Buangan yang bertanggungjawab mengumpul dan menganalisis data mengenai pelepasan GHG. Ahli jawatankuasa yang dilantik termasuk agensi kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Indah Water Konsortium (IWK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (LMSM), Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.

Inventori GHG bagi sektor sisa terdiri daripada inventori pelepasan GHG daripada pelbagai sumber seperti sisa pepejal, buangan terjadual, air sisa domestik, air sisa industri terutamanya dari industry kelapa sawit, industry getah asli, pulpa dan kertas, dan pemprosesan makanan.

Gas Rumah Kaca utama yang dikeluarkan daripada sektor sisa ialah gas metana (CH4). Metana terbebas terutamanya semasa penguraian anaerobik sisa organik yang dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal dan semasa pengendalian air sisa domestik dan industri dalam keadaan anaerobik.

Dengan membangunkan inventori GHG untuk sektor sisa, negara boleh menganggar dan mengenalpasti sumber pelepasan, menganalisis dan menganggarkan pelepasan GHG pada masa akan datang. Ini akan menjadi alat penting dalam mengenal pasti peluang yang kos efektif dalam pengurangan pelepasan serta membangunkan dasar perubahan iklim di Malaysia. Inventori GHG juga boleh membantu dalam mengukur faedah aktiviti yang mengurangkan pelepasan dan juga menetapkan matlamat atau sasaran untuk pengurangan GHG masa hadapan