Inisiatif Kawalan Pencemaran Sumber Air

Latar Belakang


Pembangunan pesat dalam sektor iaitu perindustrian, pertanian, perladangan, perbandaran, pembukaan tanah, pembalakan, perlombongan dan lain-lain kegiatan manusia yang kesemuanya menyumbang kepada kemasukan bahan pencemar ke dalam sungai melebihi daya tampung sungai seterusnya menyebabkan pencemaran sungai. Hasil kajian-kajian sungai yang telah dilaksanakan sebelum ini telah menunjukkan hanya 20% hingga 30% punca pencemaran dalam sesuatu lembangan sungai adalah tertakluk di bawah bidangkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala selebihnya 70% hingga 80% punca pencemaran terletak di bawah bidangkuasa lain-lain agensi. Penguatkuasaan ke atas punca-punca yang tertakluk di bawah JAS sahaja tidak mampu meningkatkan kualiti air sungai yang tercemar. Kaedah kawalan berasaskan kepekatan bahan pencemar efluen atau air buangan daripada punca individu yang memasuki sungai tidak lagi berupaya mengawal pencemaran yang masuk ke dalam sungai memandangkan kaedah ini tidak dapat mengambilkira impak kumulatif dari pelbagai punca pencemaran sama ada punca tetap dan punca tidak tetap seperti aktiviti ternakan haiwan, perladangan dan perlombongan. Oleh yang demikian, aplikasi TMDL dilihat sebagai pilihan yang terbaik pada ketika ini sebagai langkah kawalan pencemaran air secara holistik.

Jumlah Maksimum Beban Harian (TMDL)


Jumlah Maksimum Beban Harian (TMDL) ialah jumlah beban harian paling besar yang boleh ditampung oleh sesuatu badan air (sungai) berdasarkan kepada daya tampungannya tanpa menjejas kegunaan berfaedah badan air tersebut. Konsep kawalan TMDL adalah pendekatan baru yang mengambilkira semua punca pencemaran yang menyumbang kepada kemasukan bahan percemar ke dalam sungai. Ini termasuklah punca tetap dan punca tidak tetap yang dikawal di bawah bidangkuasa pelbagai agensi. Pelaksanaan kawalan beban pencemaran efluen dan air buangan ke atas setiap punca dapat meramal impak kumulatif dan yang demikian, langkah kawalan dapat diambil bagi memulihara daya tampung sungai dan mencapai sasaran kualiti air yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan TMDL Oleh Jabatan Alam Sekitar


Dalam usaha JAS yang komited menangani isu pencemaran sungai, JAS telah mengorak langkah menjalankan satu kajian perintis yang bertajuk ‘Pembangunan dan Pelaksanaan Program Jumlah Maksimum Beban Harian (TMDL)’ bagi Sg. Semenyih di bawah projek ‘Memperkuat Kelestarian Alam Sekitar’ dalam Teras Empat ‘Mengusahakan Pertumbuhan Hijau Untuk Kemapanan dan Ketahanan’, Rancangan
Malaysia Kesebelas (RMKe11). Perunding ERE Consulting Group Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menjalankan kajian ini sepanjang tempoh 24 bulan dan kajian berkenaan telah disiapkan pada 2018.