KAWALAN PELEPASAN DARIPADA KENDERAAN BERMOTOR

KENDERAAN PETROL

Pengawalan pelepasan daripada kenderaan enjin petrol dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996. Peraturan ini menggariskan standard-standard pelepasan tertentu yang perlu dipatuhi oleh kenderaan-kenderaan baru (di kilang pemasangan) dan kenderaan petrol yang sediada beroperasi di jalan raya. Parameter yang dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996 ialah Karbon monoksida (CO) dan Hidrokarbon (HC),

KATEGORI / MODEL

KARBON MONOKSIDA (%)

HIDROKARBON (%)

 

Model sediada (sebelum 1 Januari 1997)

4.5

800

Model Baru (Pada atau selepas 1 Januari 1997)

3.5

600

Hukuman dan Denda

Kenderaan yang didapati melepaskan gas melebihi standard yang dibenarkan, boleh dikenakan hukuman / denda berikut :

  Kompaun tidak melebihi RM2,000.00

  Denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

KENDERAAN DIESEL

Pengawalan pelepasan daripada kenderaan enjin diesel dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996. Peraturan ini menggariskan standard-standard pelepasan tertentu yang perlu dipatuhi oleh kenderaan-kenderaan baru (di kilang pemasangan) dan kenderaan petrol yang sediada beroperasi di jalan raya. Kawalan pelepasan asap hitam berlebihan daripada ekzos kenderaan diesel dipantau melalui operasi Ops statik secara bersepadu dengan agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) dan Trafik Polis (PDRM) serta Operasi pemerhatian melalui video kamera dan Program AWASI. Melalui program ini, skuad peronda JAS akan menjalankan penguatkuasaan, rondaan, pemerhatian pelepasan asap hitam dari ekzos kenderaan dan memberhentikan kenderaan untuk menjalankan uijan asap ke atas kenderaan-kenderaan diesel yang diperhatikan mengeluarkan asap hitam berlebihan. Had pelepasan asap yang dibenarkan dari paip ekzos kenderaan diesel yang sedang beroperasi di jalanraya adalah tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge ( 50 HSU) atau dalam unit yang setara.

Hukuman dan Denda

Kenderaan yang didapati melepaskan asap hitam yang melebihi had yang dibenarkan, boleh dikenakan hukuman / denda berikut :

  • Kompaun tidak melebihi RM2,000.00
  • Denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Perintah Larangan menggunakan kenderaan boleh dikeluarkan sekiranya didapati kenderaan yang telah diuji mengeluarkan asap hitam melebihi 70 HSU atau dalam unit asap yang setara.

Kenderaan yang dikenakan Perintah Larangan tidak boleh beroperasi di jalanraya sehingga kerosakannya telah dibaiki dan lulus ujian asap semula oleh Jabatan Alam Sekitar.

 

UJIAN KELULUSAN JENIS (KENDERAAN DIESEL)

Bagi mengawal pelepasan dari kenderaan berenjin diesel di Malaysia, setiap model baru kenderaan bermotor pada atau selepas 1 Januari 1997 adalah dikehendaki mematuhi standard pelepasan pencemar yang ditetapkan dalam Jadual Kedua, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 yang berdasarkan Peraturan No. 49.02 ECE dan Arahan Majlis 93/59/EEC.