Pengenalan

Rasional Logo

Logo Debat Alam Sekitar buat pertama kali diperkenalkan pada Pertandingan Debat Alam Sekitar ke-21 pada tahun 2011. Pemilihan logo ini telah dibuat menerusi Pertandingan Mencipta Logo Debat Alam Sekitar. Logo ini akan digunapakai untuk pertandingan seterusnya.

Secara keseluruhannya logo ini direka dengan memasukkan elemen-elemen penting iaitu perkataan DEBAT ALAM SEKITAR ANTARA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI dengan warna yang bersesuaian dan gambar bunga raya sebagai simbol alam sekitar.

Perkataan DEBAT – warna putih pada huruf D membawa maksud kebersihan dan kemuliaan bagi menggambarkan peribadi pendebat selaku penuntut Institusi Pendidikan Tinggi yang berjiwa bersih dan berakhlak mulia. Warna hitam membawa maksud kekuatan dan keyakinan dalam berdebat.

Perkataan ALAM SEKITAR berwarna hijau – Warna hijau melambangkan kesuburan, pertumbuhan dan harmoni yang biasa dikaitkan dengan kehidupan dan alam sekitar. Hijau adalah warna korporat Jabatan Alam Sekitar selaku penganjur pertandingan ini.

Bunga berwarna merah – Bunga Raya adalah Bunga Kebangsaan Malaysia dan dalam konteks logo ini ia menjadi lambang keberanian, kekuatan dan kemahuan yang agresif dalam berhujah dan berdebat.

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi pertama kalinya telah diadakan pada tahun 1986. Walau bagaimanapun ia menjadi acara tahunan bermula tahun 1991 setelah kerajaan Malaysia mengisytiharkan 21 Oktober setiap tahun sebagai Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM).

Ia merupakan satu program tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) sejak awal tahun 90-an lagi. Penganjur utama pertandingan debat ini adalah Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama MADUM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi memudahkan pengurusan dan penganjuran pertandingan tersebut, salah sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang mengambil bahagian akan dipilih secara bergilir-gilir untuk ditawarkan menjadi tuan rumah pertandingan debat pada setiap tahun.

Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi ini merupakan satu aktiviti tahunan yang diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan mahasiswa tentang pelbagai isu dan permasalahan alam sekitar. Ia juga dapat membentuk budaya berfikir dan berucap di khalayak awam dalam di kalangan mahasiswa.

Objektif

  1. Meningkatkan pengetahuan mahasiswa yang juga pemimpin pada masa hadapan akan isu-isu/dasar-dasar/polisi-polisi berkenaan alam sekitar di peringkat nasional dan antarabangsa.
  2. Meluaskan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia, tidak kira awam atau pun swasta bagi membolehkan proses perkongsian ilmuMenggalakkan mahasiswa untuk lebih berfikiran terbuka, kritis dan celik akan pengetahuan umum menyentuh aspek alam sekitar dan pemeliharaan serta pemuliharaan sumber asli
  3. Melatih mahasiswa sebagai pemimpin di masa hadapan untuk berfikir dan melahirkan buah fikiran secara berkesan dan bernas
  4. Sebagai satu cara untuk meningkatkan kemahiran dan bakat pidato dan debat di kalangan mahasiswa.

Kaedah Pertandingan

  • Pertandingan debat ini merupakan debat Ala Parlimen dan debat terbuka.
  • Penentuan pasukan yang akan bertemu dan berlawan serta peranan mereka sebagai kerajaan atau pembangkang dibuat menggunakan kaedah `system bracket power match’ untuk pusingan awal.
  • Kedudukan setiap pasukan dibuat berdasarkan menang/ kalah, juri, julat kemenangan dan markah keseluruhan.
  • Pertandingan peringkat awal melibatkan lima (5) pusingan.
  • Lapan (8) pasukan terbaik akan dipilih untuk ke peringkat suku akhir dan empat (4) pasukan yang menang akan ke peringkat separuh akhir.
  • Dua (2) pasukan akan ke peringkat akhir.

Usia Program Debat Antara Institusi Pendidikan Tinggi

Jabatan Alam Sekitar telah menganjurkan Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi(IPT) buat pertama kalinya pada tahun 1986. Pertandingan Debat yang melibatkan kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Debat Universiti Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah dianjurkan secara tahunan mulai tahun 1991. 

Kini usianya telah menjangkau 27 tahun pada tahun ini. Ianya bukan suatu jangka masa yang sekejap, malah ramai di kalangan pendebat yang berdebat pada tahun ini masih belum pun dilahirkan ketika pertandingan debat yang dianjurkan buat kali pertamanya pada tahun 1986. Pertandingan Debat ini merupakan satu rekod pertandingan debat yang tertua di Malaysia. Debat Alam Sekitar menjadi legasi debat antara Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia yang paling lama bertahan malah mengekalkan prestijnya sebagai kejuaraan yang menjadi idaman semua pendebat universiti.

Sedikit singkapan sejarah Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi di mana penyertaan yang pada mulanya hanya melibatkan peserta daripada IPT Awam telah turut dibuka kepada IPT Swasta mulai tahun 2003. Seperti pertandingan debat lain di Malaysia, Pertandingan Debat Alam Sekitar ini juga menyaksikan beberapa perubahan format pertandingan selaras dengan pertambahan peserta dan untuk memberi kesan yang lebih baik bagi mencapai objektif penganjurannya.

Contohnya, dengan menggunakan kaedah Debat Ala Parlimen, pendebat akan dilatih untuk berhujah dan menyampaikan segala maklumat yang diusulkan dengan lebih fokus selain menguji pemahaman dan penguasaan isu melalui celahan dan jawapan kepada celahan semasa debat dijalankan.

Maklumat Ringkas Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara IPT kali-27 Tahun 2021

Pada pertandingan edisi ke-27 ini, dengan timbulnya bencana wabak Covid-19, maka pertandingan diadakan secara norma baharu iaitu secara maya (dalam talian) dengan kerjasama Rakan Strategik yang baru iaitu Malaysian Institute of Debate and Public Speaking (MIDP).

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kali ke-27 ini telah disertai oleh 28 pasukan iaitu terdiri daripada 17 buah IPT Awam, 4 buah Institusi Pendidikan Guru (IPG), 1 buah politeknik dan 6 buah IPT Swasta. Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT kali ke-27 telah diadakan berpusat di Jabatan Alam Sekitar Malaysia di Presint 4, W.P. Putrajaya bermula dari 14 hingga 21 Ogos 2021 bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021.