KAWALAN KANDUNGAN KUALITI BAHAN API

    Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 (Pindaan) 2021 telah menetapkan bahawa pegawai diberi kuasa boleh menyiasat, memeriksa dan mengambil sampel apa-apa bahan api yang ditafsirkan di bawah peraturan ini iaitu Petrol dan Diesel untuk tujuan penguatkuasaan bagi memastikan kandungan Petrol dan Diesel mematuhi standard kandungan sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Pertama dan Jadual Kedua dalam peraturan ini.

    Bagi penguatkuasaan Diesel Euro 5, Kerajaan telah menetapkan pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 bagi menggantikan minyak diesel Euro 2M bermula pada 1 April 2021. Semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 (Pindaan) 2021.

    Tarikh asal pelaksanaan minyak diesel berspesifikasi Euro 5 adalah pada 1 September 2020. Namun atas keprihatinan Kerajaan, Jemaah Menteri pada 10 Jun 2020 telah bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April 2021 susulan kekangan di pihak industri dan pandemik COVID-19. Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 merupakan salah satu usaha Kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 (Clean Air Action Plan)

    Bahan api Petrol Euro 4 telah dikuatkuasakan bermula 1 September 2015 bagi RON 97 dan 1 Januari 2020 bagi RON 95. Petrol Euro 5 masih belum berada di pasaran dan dijangka akan berada di pasaran pada Tahun 2025.  Oleh yang demikian, penguatkuasaan persampelan kualiti minyak ditumpukan pada Diesel Euro 5.