MSJCE WG KE-21
Mesyuarat MSJCE WG ke-21 telah dianjurkan oleh Singapura sebagai tuan rumah melalui National Environment Agency (NEA) dari 9 hingga 11 September 2025. Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Malaysia dan Encik Wong Kang Jet, Ketua Pegawai Eksekutif, NEA, Singapura.
Mesyuarat telah dihadiri oleh delegasi Malaysia dari JAS, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta agensi-agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor, Pusat Hidrografi Nasional, Agensi Angkasa Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor. Delegasi Singapura pula terdiri daripada NEA, Ministry of Sustainability and the Environment, Ministry of Foreign Affairs, Attorney-General’s Chambers, Ministry of National Development, Maritime and Port Authority, Public Utilities Board, Housing and Development Board, National Parks Board, dan Jurong Town Council.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk kawalan pencemaran dan pemantauan kualiti alam sekitar, khususnya melibatkan pelepasan daripada kenderaan (vehicular emissions); pemantauan air laut secara bersama; latihan bersama dan kerjasama dalam menguruskan insiden tumpahan bahan kimia dan minyak; serta perancangan bengkel pembangunan kapasiti antara EiMAS dan SEI yang dijadualkan pada Oktober 2025 di Malaysia. Kedua-dua negara turut berkongsi maklumat mengenai program pemuliharaan ekologi di Selat Johor sebagai usaha berterusan ke arah kelestarian alam sekitar.
Delegasi juga berkesempatan melawat Mandai Bird Paradise, sebuah destinasi mesra alam yang menampilkan pelbagai inisiatif lestari.
Mesyuarat menekankan kepentingan meneruskan kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura, sejajar dengan perkembangan positif yang dapat dibincangkan dalam Mesyuarat MSJCE peringkat seterusnya.