MESYUARAT ASEAN WORKING GROUP ON ENVIRONMENTAL EDUCATION (AWGEE) KE-17
ASEAN Working Group on Environmental Education (AWGEE) berperanan menyelaras dasar dan inisiatif pendidikan alam sekitar dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) serta Rakan ASEAN. AWGEE menyokong aspirasi ASEAN Senior Officials on Environment (ASOEN) melalui pelaksanaan pelan tindakan serantau, perkongsian amalan terbaik dan kerjasama dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar sejajar dengan matlamat pembangunan lestari ASEAN.
Mesyuarat AWGEE ke-17 telah berlangsung dari 2 hingga 3 Julai 2025 di Filipina, selaku Tuan Rumah, dan dipengerusikan oleh Kemboja. Mesyuarat ini dihadiri oleh Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS), Rakan ASEAN, serta Sekretariat ASEAN (ASEC). Delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut diketuai oleh Puan Hajah Azuri Azizah binti Haji Saedon, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan turut disertai oleh Puan Roslina binti Diwa, Ketua Penolong Pengarah, BKS.
Pada mesyuarat tersebut, delegasi Malaysia telah melaporkan perkembangan semasa projek penilaian dan penambahbaikan terhadap garis panduan sedia ada, iaitu ASEAN Guidelines on Eco-Schools. Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan Rakan ASEAN iaitu Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ), dengan sokongan ASEC dan AMS di bawah AWGEE.
Pelaksanaan projek telah dimulakan dengan Kick-Off and Coordination Meeting pada penghujung Jun 2025. Output awal projek dijadualkan untuk dikongsi bersama AMS menerusi penganjuran bengkel serantau pada September 2025 di Malaysia. Program di bawah AWGEE turut diteruskan dengan lawatan kerja ke Las Piñas-Parañaque Wetland Park, Manila di mana perkongsian telah diadakan oleh dua (2) buah sekolah, iaitu Rosa Susano Elementary School dan Muntinlupa National High School, berkaitan National Search for Sustainable and Eco-friendly Schools. Melalui lawatan dan perkongsian tersebut, delegasi Malaysia berpeluang mempelajari dan memahami usaha serta program yang telah dilaksanakan di Filipina. Delegasi AWGEE turut dibawa melawat ke Wetland Center Museum.
AWGEE terus menjadi platform penting bagi Malaysia dalam memperkukuh integrasi pendidikan alam sekitar di peringkat nasional dan serantau, selaras dengan aspirasi bersama ASEAN dalam pengurusan alam sekitar yang mampan.





