PEMANTAUAN PELEPASAN CEROBONG SECARA BERKALA (PERIODIC SAMPLING)
Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 merupakan peraturan yang menguatkuasakan pematuhan pelepasan pencemar udara dari sektor perindustrian khususnya atau mana mana premis yang berpotensi untuk melepaskan pencemar udara secara amnya. Bagi memastikan tahap pematuhan pelepasan pencemar udara dari cerobong, pihak industri dikehendaki untuk menjalankan pemantauan secara berterusan atau secara berkala bergantung kepada jenis aktiviti dan seperti yang dinyatakan di dalam peraturan. Laporan pemantauan cerobong tersebut hendaklah dikemukakan kepada JAS untuk tujuan pemantauan dan penilaian.
Berdasarkan sub-peraturan 16, PPKAS (Udara Bersih) 2014, pemantauan pelepasan pencemar udara melalui cerobong secara berkala hendaklah dijalankan sekurang-kurangnya setahun sekali atau selain sekiranya diarahkan oleh JAS melalui arahan secara bertulis. Dalam hal ini, pihak premis adalah dikehendaki untuk melantik stack sampler atau makmal yang berakreditasi (accredited laboratory) bagi menjalankan persampelan dan pemantauan pelepasan berdasarkan prosedur seperti yang ditetapkan di dalam peraturan.
JAS kini sedang dalam peringkat untuk membangunkan kursus kompetensi penguji cerobong (stack tester) selaras dengan keperluan sub-peraturan 16, PPKAS (Udara Bersih) 2014 di mana persampelan cerobong perlu dilaksanakan oleh Orang Yang Berwibawa (OYB) dalam memastikan pengujian akan dijalankan oleh orang yang berkelayakan dan berkepakaran bagi menjamin kesahihan data pemantauan pelepasan cerobong yang dilaporkan kepada JAS.