Jabatan Alam Sekitar

Jata Negara
1

Portal Rasmi
Jabatan Alam Sekitar
Kementerian Sumber Asli
dan Kelestarian Alam

Jata Negara
1

Portal Rasmi
Jabatan Alam Sekitar
Kementerian Sumber Asli
dan Kelestarian Alam

 

Raja Zarith Sofiah (dua, kanan) berkenan berangkat melawat ke ruang pameran sempena Majlis Perasmian Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2016, kelmarin.
 
 

JOHOR BAHRU – Kesedaran terhadap pentingnya mengekalkan kelestarian dan keseimbangan ekosistem perlu dipupuk daripada peringkat persekolahan lagi.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, dalam menghargai peranan dan kewujudan hutan bakau, pembangunan kehidupan manusia yang berterusan juga tidak dapat dielakkan.

Menurut baginda, populasi manusia meningkat dari semasa ke semasa  seiring dengan keperluan untuk menyediakan perumahan, perlindungan dan pekerjaan.

“Lebih banyak kawasan akan diterokai dan dibangunkan bagi memenuhi keperluan ini dan sekiranya pembangunan tidak diuruskan atau dikawal dengan baik, ia akan menjejaskan alam sekitar termasuklah hutan bakau.

“Kemusnahan alam sekitar dan hutan bakau pasti memberi kesan negatif kepada keseimbangan ekosistem, sekali gus menjejaskan kualiti hidup, tahap kesihatan dan survival manusia,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, kelmarin.

Titah baginda lagi, menerusi inisiatif itu, semua peserta yang terdiri daripada 192 pelajar dan guru daripada 24 sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Johor diharap mampu memberikan idea kreatif bagaimana pembangunan manusia dan kewujudan hutan bakau dapat hidup bersama secara berterusan.

Menurut baginda, semua bangsa Johor dan rakyat Malaysia khususnya warga korporat yang bertanggungjawab perlu turut serta dalam menjayakan usaha berkenaan untuk impak positif lebih besar kepada generasi akan datang.

“Saya berbesar hati kerana hasrat untuk memastikan inisiatif berterusan dalam pemeliharaan hidupan liar dan alam sekitar mendapat maklum balas positif serta sokongan daripada pelbagai agensi khususnya Johor Corporation.

“Kita di Johor sepatutnya berasa bertuah kerana memiliki hutan paya bakau kedua terbesar di Semenanjung dengan jumlah keluasan 18,000 hektar.

“Saya berharap pihak sekolah dan semua pelajar terlibat dapat memberikan komitmen dan kesungguhan dalam menjayakan program yang bermula Disember tahun lepas hingga Julai depan ini,” katanya.

 
http://www.sinarharian.com.my/
AZIZAN INCHE HARUN
2 FEBRUARI 2016
Skip to content