Program Rakan Strategik Jabatan Alam Sekitar Menerusi Memorandum Persefahaman

Memorandum Persefahaman ini berfungsi sebagai suatu penyataan persefahaman dan hasrat untuk bekerjasama antara satu sama lain di mana pihak-pihak yang menandatangani MOU ini tidak terikat kepada apa-apa tanggungan atau liabiliti secara perundangan.

Memorandum Persefahaman Kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar ini melibatkan dua (2) skop utama yang difokuskan iaitu:-

  • Memorandum Persefahaman Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Kesedaran Alam Sekitar di antara Jabatan Alam Sekitar dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Multinasional (MNC), Syarikat Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO); dan
  • Memorandum Persefahaman Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Rakan Alam Sekitar di antara Jabatan Alam Sekitar dengan Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Pendidikan / Latihan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kesedaran alam sekitar serta menyebarkan maklumat kepada setiap lapisan masyarakat dalam usaha membina masyarakat yang mementingkan kelestarian alam sekitar.

Jabatan Alam Sekitar telah menjalinkan hubungan kerjasama pintar (smart and strategic partnership) dengan agensi kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), pihak industri (Swasta/ GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) dalam pelaksanaan program kesedaran alam sekitar dan program Rakan Alam Sekitar sebagai salah satu langkah proaktif bagi menangani isu-isu alam sekitar.