SAMBUTAN PERASMIAN HARI OZON SEDUNIA

Bersempena dengan Persidangan Protokol Montreal yang pertama yang telah diadakan pada 16 September 1987, Hari Ozon Sedunia telah diisytiharkan pada 16 September oleh Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1994. Setiap tahun, Hari Ozon Sedunia disambut oleh negara-negara Parti kepada Protokol Montreal Mengenai Bahan Pemusnah Ozon dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang perlindungan lapisan ozon.

Bagi tahun 2022, tema Sambutan Hari Ozon Sedunia yang telah diumumkan oleh pihak Sekreteriat Ozon adalah Montreal Protocol@35: Global Cooperation Protecting Life on Earth. Tema ini menunjukkan sumbangan Protokol Montreal dalam melindungi lapisan ozon dan menangani perubahan iklim serta keperluan kolaborasi dan kerjasama global untuk sama-sama menangani isu alam sekitar dan melindungi semua hidupan di atas bumi untuk kepentingan generasi akan datang.

Sambutan Hari Ozon Sedunia tahun 2022 Peringkat Kebangsaan merupakan kerjasama antara Bahagian Udara, Jabatan Alam Sekitar Putrajaya dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor. Sambutan pada kali ini diadakan di Gamuda Cove dengan konsep karnival ria meliputi program seperti Fun Walk – Walk for Ozone, Pertandingan Mewarna, Snakes and Ladders Ozone Heroes, Track Ozone Treasure Hunt dan pameran oleh Rakan Strategik Alam Sekitar (RSAS).

Sambutan tersebut telah dirasmikan oleh YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man dan mendapat sambutan yang baik daripada orang awam di mana ianya telah dihadiri oleh lebih daripada 500 peserta.

Majlis Sambutan ini sedikit sebanyak dapat memupuk kesedaran dan kepekaan di kalangan orang awam terhadap kepentingan perlindungan lapisan ozon dan melahirkan sikap keprihatinan terhadap alam sekitar.