HARI BUMI
Pada September 1969, dalam sebuah persidangan di Seattle, Washington, Senator A.S. Gaylord Nelson telah mengumumkan bahawa musim bunga tahun 1970 akan diadakan satu perhimpunan di seluruh Amerika Syarikat bagi pembelaan terhadap alam sekitar. Senator Nelson pada mulanya mencadangkan bantahan alam sekitar di seluruh negara. Pada 22 April 1970 dikatakan hampir 20 juta rakyat Amerika Syarikat memenuhi taman dan auditorium. Hari Bumi pertama juga menjadi pembuka jalan tertubuhnya United States Environmental Protection Agency (US EPA).
Hari Bumi adalah satu acara tahunan yang disambut pada 22 April setiap tahun oleh masyarakat di 192 negara seluruh dunia. Ianya bermula sebagai satu gerakan di Amerika Syarikat sejak tahun 1970an yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta melibatkan penyertaan orang awam dalam usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Hari Bumi akan disambut untuk kali ke 54 pada 22 April 2024. Tema Hari Bumi 2024 adalah “Planet vs. Plastics”. Kempen Hari Bumi 2024 adalah untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna kerana plastik mengambil masa yang lama untuk diuraikan. Antara program yang dijalankan oleh Jabatan sempena Hari Bumi 2024 adalah pengedaran beg kitar semula, seminar berkaitan alam sekitar, pertandingan mewarna dan melukis di kalangan kanak-kanak dan program kemasyarakatan yang lain.