HARI ALAM SEKITAR NEGARA

LATAR BELAKANG HARI ALAM SEKITAR NEGARA ( HASN )

 

Hari Alam Sekitar Negara (HASN) merupakan satu penjenamaan semula dan inisiatif penambahbaikan yang telah dibuat oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar daripada penganjuran Minggu Alam Sekitar Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini. Sambutan HASN pada hari yang istimewa ini bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat agar sama-sama meraikan semangat kecintaan kepada alam sekitar. Selain itu, sambutan pada hari yang spesifik berbanding sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia selama satu minggu sebelum ini adalah lebih mencerminkan kepentingan untuk menjaga alam sekitar setiap masa sepanjang tahun.

Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) merupakan satu acara tahunan yang telah dianjurkan susulan termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada 21 Oktober 1989. Semenjak tahun 1991, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu) menerusi Jabatan Alam Sekitar telah merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sebagai usaha berterusan Kerajaan untuk menerap dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat Malaysia.  MASM disambut pada setiap tahun dari 21 hingga 27 Oktober bersempena Hari Alam Sekitar Malaysia yang jatuh pada 21 Oktober.

Atas cetusan idea Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bersempena MASM pada 17 Oktober 2015, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah bersetuju menjenamakan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) kepada Hari Alam Sekitar Negara, HASN (National Environment Day). Penjenamaan semula ini adalah bertujuan supaya masyarakat dapat menjiwai rasa kecintaan yang tinggi terhadap alam sekitar apabila ianya dikenali sebagai `Hari Alam Sekitar Negara’. HASN ini dianjurkan secara serentak di seluruh Negara dengan pelbagai aktiviti pengisian seperti Majlis Perasmian, Envirowalk / Envirorun / Enviroride / Envirohunt / Envirohill, Pameran Pertandingan Reka Cipta Bahan Baharu Daripada Bahan Buangan, Pemeriksaan Kesihatan, Pemeriksaan Percuma Kenderaan dan Ujian Pelepasan Asap Kenderaan, pameran alam sekitar dan sebagainya.

Sambutan HASN menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat seperti kanak-kanak tadika, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan-badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat, agensi kerajaan dan swasta, industri dan orang awam.

OBJEKTIF HASN

  • Mempromosikan pendidikan dan kesedaran alam sekitar secara meluas
  • Menyediakan `platform’ kepada warga Malaysia untuk bersama-sama menghayati alam sekitar
  • Mengiktiraf kepada mereka yang telah memberi sumbangan dan jasa kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
  • Memupuk kesedaran di kalangan masyarakat khususnya dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar