• English
Jabatan Alam Sekitar

Tentang Kami

EiMAS terletak di atas tapak seluas 10 ekar di dalam Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Persetujuan untuk membina EiMAS di kampus UKM termeterai dalam satu memorandum persefahaman antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan UKM yang ditandatangani pada 30hb. Julai 1996.

Pembinaan EiMAS diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia bermula dari menyediakan rekabentuk, menender dan melantik kontraktor serta memantau pelaksanaan projek. Bangunan ini telah dapat disiapkan sepenuhnya pada 28 Mei 2001 dalam tempoh 1 tahun 11 bulan 21 hari dari tarikh milik tapak pada 7 Jun 1999.

Kewujudan EiMAS merupakan satu lagi titik sejarah kepada Jabatan Alam Sekitar. Selain daripada memantapkan program pembangunan sumber manusia untuk mengawal dan melindungi alam sekitar, EiMAS turut memainkan peranan dalam meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar. Program yang dilaksanakan memberi peluang kepada JAS untuk mengadakan perkongsian dengan mana-mana pihak khususnya sektor perkilangandi Malaysia yang merupakan antara penyumbang kepada pencemaran alam sekitar di Malaysia. Penempatannya dalam sebuah kampus institusi pengajian tinggi negara juga memberi peluang kepada Jabatan menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih rapat khususnya dengan UKM, lebih-lebih lagi aktiviti EiMAS memerlukan kerjasama dan sokongan berterusan daripada penyelidik dan ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.